Bertafakur seminit pada semua perlawanan Liga-M
07/03/2013 10:40pm
KUALA LUMPUR – Semua perlawanan bola sepak Liga Malaysia akan dimulakan dengan upacara bertafakur selama seminit sebagai menghormati dan memperingati anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Sabah.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengeluarkan arahan ”One Minute Silence” dijalankan sebelum sepak mula perlawanan iaitu sebaik sahaja selesai nyanyian Lagu Negaraku.
Dalam kenyataan di sini, FAM berkata, juruhebah perlawanan dikehendaki membuat pengumuman seperti berikut: "Bagi menghormati perajurit-perajurit yang gugur di medan pertempuran di Lahad Datu dan Semporna, Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negara, para penonton dan hadirin diminta untuk berdiri dan menghadiahkan Al-Fatihah bagi yang beragama Islam serta bertafakur bagi yang bukan beragama Islam selama satu minit”.
Dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, seramai lapan anggota polis terbunuh, manakala 32 pengganas militan terkorban dalam operasi pasukan keselamatan setakat ini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment