Kemelut Menteri Besar Selangor semakin meruncing. Krisis itu telah membawa kepada perbalahan dan persengketaan dalam PAS sendiri di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Berikut kecaman terbaru yang diterima oleh Majlis Syura daripada Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS dalam Malaysiakini.
Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS berpendapat Majlis Syura Ulama parti itu bertindak melampaui kuasanya kerana campur tangan dalam isu Menteri Besar Selangor.
Setiausahanya, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus berkata, keputusan majlis itu menyokong Abdul Hadi untuk tidak memberikan kerusi itu kepada PKR, adalah bertentangan dengan keputusan muktamar iaitu kuasa tertinggi dalam PAS.
Katanya, PAS bersetuju mengadakan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat yang disahkan dalam muktamar PAS dan tidak pernah dibatalkan, maka Majlis Syura Ulama mahupun PAS mesti bertindak selari keputusan muktamar itu.
“Isu pokok yang berbangkit dalam isu MB Selangor ini adalah Presiden telah membuat ketetapan untuk menghantar nama daripada PAS sebagai calon MB (yang kemudiannya disokong oleh Majlis Syura Ulama).
“Sedangkan, Presiden sendiri sebelum ini telah menyatakan bahawa PAS tidak akan menuntut jawatan MB Selangor memandangkan ia adalah milik PKR.
“LUHAM percaya ini adalah berdasarkan kepada ketetapan muktamar yang memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan.
“Justeru, apabila nama ADUN PAS turut dicalonkan sebagai MB Selangor, tidakkan ia menyalahi perjanjian PAS di dalam Pakatan itu sendiri?
“Tidakkah perlanggaran ini menjurus kepada pelanggaran keputusan muktamar itu sendiri?
“Oleh itu, LUHAM berpendapat tidak wujud sebarang perselisihan faham dalam hal keputusan Muktamar ini yang perlu kepada tafsiran oleh MSU,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu adalah hasil mesyuarat lajnah itu semalam bagi membincangkan keputusan mesyuarat Majlis Syura sehari sebelumnya yang menyokong keputusan Abdul Hadi itu.
Kelmarin, Majlis Syura menegaskan Presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam perkara melibatkan kepentingan parti dan anggota jawatankuasa pusatnya pula harus menjalankan arahan diberikan berdasarkan Fasal 26(1)(a) dan Fasal 26(9)(m) perlembagaan parti.
Hal ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini yang mahu kerusi Menteri Besar kekal di tangan PKR.
Abang Kardee berkata LUHAM turut berpendapat Majlis Syura tiada keperluan untuk menghurai, menjelas dan menafsirkan mana-mana peruntukan perlembagaan parti mengenai isu ini.
Malah Lajnah itu menyatakan sekalipun Majlis Syura berkuasa memutuskan sebarang perselisihan faham, ia perlulah dirujuk terlebih dahulu dan bukannya mempunyai kuasa sedia ada untuk membuat keputusan tersebut.
“Jika Majlis Syura berpendapat isu pelantikan MB Selangor ini melibatkan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berdasarkan fasal 88(1) Perlembagaan PAS, badan itu hanya boleh bertindak sekiranya ada rujukan dibuat kepada badan itu.
“Di dalam bahasa perundangan, kuasa Majlis Syura adalah kuasa atas rujukan (referral) dan bukan kuasa “of first instance” atau kuasa yang sedia ada (inherent).
“Dengan ketiadaan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berhubung isu pelantikan MB Selangor dan dengan ketiadaan rujukan dibuat oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada Majlis Ulama bagi Majlis Ulama menafsir Perlembagaan PAS, maka tindakan Majlis Ulama mencampuri isu pelantikan MB Selangor itu, dengan hormat, adalah non-starter,” kata beliau. SINI
0 comments:
Post a Comment