Katalah apa sahaja, biarpun seperti sekadar hampas untuk makanan ayam dan lembu, sumbangan itu lebih baik daripada sekadar bercakap, mengeji dan tidak memberi apa-apa.
Itu antara jawapan sebahagian daripada lebih 1,800 penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang ketika ditemui dalam satu majlis penyerahan bantuan berkenaan di sini baru-baru ini.
Penyerahan disempurnakan oleh Penyelaras DUN, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan tiada siapa dalam kalangan mereka yang hadir menerima bantuan tersebut, mengeji pemberian kerajaan buat kali kedua itu.
Biarpun ada pemimpin parti pembangkang menyamakan pemberian itu sekadar hampas, mereka menyifatkan BR1M satu nikmat dan besar ertinya jika tahu memanfaatkan dan menghargainya.
T. Mohanam, 54, yang kini menjaga ibunya yang sakit, menyifatkan penghinaan terhadap pemberian itu amat mengguris hatinya kerana duit RM500 yang diterima dapat digunakan bagi membeli keperluan ibunya untuk tempoh beberapa bulan atau mungkin sampai setahun.
Bekas akauntan itu yang tidak mempunyai pendapatan tetap berkata, pemberian BR1M yang disalurkan kerajaan amat bermakna buatnya untuk membeli makanan tambahan ibunya.
“Saya dan ibu menghidap penyakit jantung, jadi pemberian RM500 ini amat besar buat kami berdua kerana sekurang-kurangnya meringankan beban kami untuk membeli ubat tambahan.
“Jika ada pihak yang menyamakan apa yang dihulur kepada kami seperti makanan binatang, mungkin mereka hidup senang dan boleh kata apa sahaja kerana mereka tidak berada di tempat kami yang sangat memerlukan bantuan seperti ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Sebilangan yang ditemui juga terdiam sejenak apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan pemberian itu dengan pemberian hampas kepada ayam dan lembu.
Namun kalangan penerima merasakan BR1M sudah berbaloi kerana pemberian tersebut melibatkan jutaan rakyat di seluruh negara dan jumlah sebenar tentunya begitu besar dan itu juga bukan satu-satunya bentuk bantuan kerajaan.
Animah Mohd. Sharif, 36, ibu tunggal anak dua pula berpendapat, RM500 itu kecil nilainya buat orang lain, apatah lagi bagi orang berjawatan tinggi namun baginya yang bekerja sebagai promoter di sebuah pasar raya mengakui duit sebanyak itu boleh menggembirakan kedua-dua anaknya.
“Ini kali kedua saya menerima bantuan ini dan setiap tahun saya berharap bantuan ini dapat diteruskan kerana dengan jumlah sebanyak itu, saya dapat buat banyak perkara bersama anak-anak.
“Bagi saya, apa yang kerajaan beri ini kita patut terima dan jika enggan terima usah keji atau hina penerimanya,” katanya.
Seorang kerani yang ditemui, Sarina Awang, 35, berkata, tidak kira berapa nilai diberi kerajaan, sebagai rakyat seharusnya mereka menerima bantuan yang diberikan dan tidak perlu timbul isu politik.
“Niat kerajaan baik sebab mahu membantu rakyatnya yang susah, jadi kenapa mesti mengaitkannya dengan politik. Jika tidak mahu ambil, usah samakan kami macam ayam makan dedak, itu satu penghinaan buat kami.
“RM500 ini jumlah yang besar dan bagi saya kerajaan menjalankan amanah mereka kepada rakyat dan bukannya hanya pandai berjanji tetapi tidak tunaikan,” jelasnya.
Pendapat yang sama diutarakan Ho Wah, 65, yang kini hanya mengharap bantuan adik-beradiknya untuk menyara hidup kerana tidak mampu bekerja.
“Tahun lalu saya sudah mendapat bantuan ini dan digunakan bagi membeli banyak barang keperluan saya untuk beberapa bulan. Terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
Bagi Nor Azryq Pauzee, 27, yang turut menerima bantuan BR1M sebanyak RM250, inisiatif kerajaan membantu golongan muda sepertinya tidak pula dilakukan oleh kerajaan pembangkang yang turut melaungkan slogan mahu membela nasib rakyat.
“Saya tak nampak apa pembangkang buat selain mencerca segala usaha kerajaan dan lebih ketara bercambahnya demonstrasi jalanan di sana sini,” ujarnya... SINI
0 comments:
Post a Comment